Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, Wan Mohamad Syafiq Wan Noor Din, 23, dari Machang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Sham Abdullah memberitahu, ketika kejadian, mangsa yang sedang menjalani latihan industri dalam perjalanan dari Bachang ke Cheng dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125z.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, mangsa merempuh sebuah kereta jenis Proton Preve dipandu seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang tiba-tiba keluar dari simpang stesen minyak Petronas.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut Mohd. Sham, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE