Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Yusri Yusup, 33, dari Taman Mutiara, Sungai Kob dekat sini, menaiki motosikal jenis Yamaha 125 terlibat dalam kemalangan di satu simpang hadapan Kilang Intel di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Waja dari arah Kilang Lama membelok ke arah kanan untuk masuk ke kawasan kilang di sini.

"Bagaimanapun, ketika membelok keretanya itu, muncul sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Sungai Kob di bahagian sebelah kiri dan melanggar kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton Waja itu, G.Vikineswaran, 43, dari Taman Pancur, Nibong Tebal, Pulau Pinang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Akibat dari kemalangan itu, Mohd. Yusri tercampak ke dalam longkang konkrit hadapan kilang berkenaan dan putus tangan sebelah kanan dipercayai terkena besi tembok di situ," katanya.

Ahmad Nasir memberitahu, mangsa dibawa ke hospital Kulim bersama tangannya yang putus dengan sebuah ambulan dan kemudian terus dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang.

"Mangsa di rujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapat rawatan lanjut dalam usaha menyambung kembali tangan yang putus itu," jelasnya.

Beliau menambah, kes itu disiasat di bawah Sek. 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE