Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Luqman Hakim Jasman, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berasal dari Kampung Bruit, Daro dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya menuju ke arah Batu Kawa.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu isyarat di bahu jalan berkenaan.


“Impak perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak jatuh dari motosikalnya dan pasukan petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE