Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa, Francis Lim Soon Fat, 19, cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintenden Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan dari Kuching menuju ke arah rumahnya di Kampung Sungai Duuh, Siburan.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba merempuh belakang sebuah lori jenis Isuzu yang berada di laluan sama.

"Impak perlanggaran yang kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

"Pemandu lori berusia 55 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu segera membantu mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utuan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori untuk siasatan lanjut.

"Mayat mangsa kini masih ditempatkan di unit forensik, HUS untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.-UTUSAN ONLINE