Dalam kejadian itu, mangsa Nurul Shahirah Siang, 23, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, ketika kejadian wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Muara Tabuan, Kuching ke rumahnya di Kampung Semerak Ulu Sadong Jaya.

"Polis menerima panggilan kira-kira 8.50 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas dipercayai telah terbabas dan melanggar sebuah jengkaut jenis Hitachi yang diletakkan di tepi jalan.

"Akibat daripada itu motosikal telah masuk ke bawah jengkaut itu dan mangsa telah meninggal dunia di tempat kemalangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bingkok berkata, siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA