KEADAAN tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan seorang lelaki maut dalam kejadian di Kilometer 16, Jalan Rasa-Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Gambar ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi apabila dua mangsa terbabit yang menaiki motosikal berasingan dari arah Bukit Sentosa menghala ke Kuala Kubu Bharu dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Kereta jenis Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 43 tahun yang datang dari arah bertentangan itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kedua-dua penunggang motosikal terbabit.

"Kesan daripada rempuhan itu, seorang daripada mangsa, Shamsuri Mohd. Sudin, 38, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang masih belum diketahui identitinya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bak Phai, pihaknya kemudian menahan pemandu wanita yang mengalami kecederaan ringan terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE