Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa, Ong Kim Hong, 58, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian pukul 2.05 petang itu berlaku setelah mangsa baru melepasi susur bulatan Kampung Pandan dan menghala ke Jalan Tun Razak.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler 16 tan yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun bergesel dengan mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda di lorong kiri jalan. Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan digilis oleh treler tersebut.

“Buat masa ini, tiada saksi yang tampil memberi keterangan dan lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE