Mangsa, Samsudin Sibon, 49, yang pada mulanya cuba mengelak lubang di jalan berkenaan dipercayai terjatuh daripada motosikalnya sebelum diseret treler yang datang dari arah Mersing.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

“Siasatan awal mendapati, treler tersebut cuba mengelak ke kanan dan akibat jalan yang sempit pelanggaran tetap berlaku dan pemandunya mencari bahu jalan yang luas untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati mayat mangsa telah terseret di bawah kenderaan dipandunya,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurut Mohamad, siasatan di tempat kejadian juga mendapati permukaan jalan tersebut berlubang dan basah selepas hujan serta keadaan cahaya kawasan itu adalah gelap ekoran ketiadaan lampu jalan. - UTUSAN ONLINE