Ketua Polis Khunyuam, Kol. Thanadet Prasarnseang berkata, penunggang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kemalangan pada 4.30 petang (waktu tempatan) itu dikenal pasti sebagai Anthony Dass Pitchai Matu, 55, bagaimanapun tempat asalnya di Malaysia masih belum diketahui.

"Beliau gagal mengawal motosikalnya selepas melanggar reflektor lampu jalan sebelum merempuh tiang lampu," katanya ketika dihubungi semalam, dan menambah mangsa dikejarkan ke hospital terdekat tetapi meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Mayatnya dihantar ke Hospital Nakornping, Chiangmai untuk dibedah siasat.

Ketua polis bagaimanapun tidak pasti bila mayat itu akan dihantar pulang ke Malaysia.

Menurut Thanadet, mangsa bersama lima lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Malaysia ketika kemalangan maut itu berlaku.

Berdasarkan rekod imigresen, rakyat Malaysia itu memasuki Thailand menerusi pusat pemeriksaan Sadao pada 24 Dis. dan sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia apabila kemalangan itu berlaku. - BERNAMA