Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, mangsa Ranjit Singh Balbir Singh,45, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala rakannya Umar yang berasal dari Pakistan cedera di kepala dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kepong menghala ke Selayang sebelum terlibat dalam nahas tersebut.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi Ranjit Singh terbabas sendiri dengan melanggar pembahagi jalan sebelum mangsa terjatuh lebih empat meter dari jejambat.

“Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sementara rakannya menerima rawatan di zon merah Hospital Selayang dekat sini,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Siasatan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE