Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan maut di lokasi manakala pembonceng, 21, kini dirawat di Zon Merah, Hospital Duchess of Kent, di sini akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Asisten Kominisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian, lori berkenaan dalam perjalanan dari Batu 14 Sandakan menuju ke sebuah kilang di Jalan Seguntur dekat sini kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Semasa melalui simpang tiga di Jalan Bambangan secara tiba-tiba motosikal mangsa dikatakan keluar dari simpang lalu melanggar bahagian tepi kanan lori sebelum diseret lebih kurang lima meter.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala rakannya pula cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Azhar, pemandu lori yang merupakan lelaki tempatan berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE