Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, penunggang motosikal kuasa tinggi, Mohamad Ali, 25, dan pembonceng motosikal lain, Mohd. Rizam Maula Jahari, 23, maut di lokasi kejadian.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika Mohamad yang baru pulang kerja melanggar motosikal dua rakan, Mohd. Rizam dan Gerry Laing, 19, dari arah Kampung Melayu balik ke rumah di Kuala Baram.


“Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal dinaiki dua rakan itu dilanggar dari arah belakang penunggang motosikal kawasaki ER650 itu.


“Rempuhan kuat menyebabkan mereka terjatuh dan dua daripada tiga mangsa kemalangan itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, penunggang motosikal Kriss, Gerry Laing, 19, terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.


“Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE