Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Jazlan Atah Abdullah, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, susulan kemalangan tersebut penunggang basikal jenis PSX meninggal dunia namun, pemandu kereta terbabit iaitu seorang remaja lelaki berusia 24 tahun dilaporkan selamat.

“Sebelum insiden, mangsa sedang menunggang basikalnya di kawasan kejadian sebelum dirempuh kereta Mazda yang datang dari arah sama.

“Rempuhan itu telah menyebabkan lelaki berkenaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

Chandra menambah, polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan remaja terbabit memandu kenderaannya dalam keadaan cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE