Lima lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan tersebut yang berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi.

Mangsa yang maut, Chen Meimei, 35, merupakan wanita warga China yang duduk di belakang kenderaan dinaikinya dan dia dikatakan tersepit dan rentung setelah terperangkap dalam kenderaan Chevrolet dinaiki bersama tiga ahli keluarganya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Sham Abdullah berkata, nahas dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Hino gagal memotong sebuah kereta jenis Proton Saga di hadapannya menyebabkan ia melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.

Beliau berkata, ketika kejadian Proton Saga berkenaan berada di lorong tengah mengekori tiga lagi kenderaan iaitu Chevrolet, Honda CRZ dan Toyota Harrier.

"Berikutan rempuhan itu, Proton Saga tersebut terbabas ke kiri lebuh raya manakala lori berkenaan terus merempuh Chevrolet yang dinaiki empat sekeluarga dan dua buah kenderaan lain.

"Kemalangan itu turut menyebabkan kebakaran dipercayai berpunca dari kebocoran tangki minyak Chevrolet dan seorang penumpang wanita di dalamnya yang tersepit di tempat duduk belakang rentung," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE