Itu antara senario yang menye­babkan premis-premis kecil ga­gal mendapatkan perakuan men­duduki di bawah Seksyen 8, Ak­ta Perkhidmatan Bomba 1988 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Lebih membahayakan antara ke­salahan lain turut meliputi ma­salah sistem pemasangan ke­selamatan kebakaran diubah daripada kedudukan asal selain kebanyakannya tidak berfungsi dan rosak.

Perkara itu turut diakui oleh pegawai bomba yang melakukan operasi menyelamat di beberapa premis terlibat malah keadaan itu menyebabkan tugasan mereka tergendala dan sukar dilaksanakan.

Ini kerana, setiap alat keselamatan kebakaran seperti hos dan alat pemadam api sepatutnya diletakkan di lokasi yang mudah diperoleh anggota penyelamat mengikut pelan kecemasan ditetapkan namun ia dipindahkan ke lokasi lain atau disembunyikan.

Tinjauan Utusan Malaysia di rumah kediaman seperti pangsapuri dan kondominium mendapati, pemilik premis juga bersikap sambil lewa apabila membiarkan laluan kecemasan bangunan miliknya dikunci serta dihalang de­ngan pelbagai barangan terpakai oleh penghuni lebih daripada satu tahun.

Selain keadaan itu, terdapat juga sistem pancuran air yang rosak dan alat pemadam api kosong berikutan penyelenggaraan tidak dilakukan secara berkala seperti yang diarahkan JBPM.

Manakala kebanyakan pemilik premis seperti kedai dua tingkat pula membiarkan stok barangan diletakkan di tangga.

Dalam pada itu, ada juga pemilik kedai yang bersikap degil dengan mengalihkan barangan tersebut ke tempat lain ketika pemeriksaan dilakukan dan kembali meletakkannya semula selepas operasi penguatkuasaan se­lesai.