Dalam kejadian pukul 7.40 pagi, dua beranak itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dengan sebuah treler dipercayai dalam keadaan hujan.

Mangsa, Ahmad Azham Muhammad, 40, yang bekerja sebagai pensyarah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing dalam perjalanan menghantar anaknya, Muhammad Luqman, 7, ke sekolah di bandar Mersing menaiki Nissan Serena.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, kemala­ngan dipercayai berlaku apabila treler berkenaan membrek secara mengejut bagi mengelak sebuah kenderaan lain yang memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.

“Tindakan pemandu treler membrek secara mengejut menyebabkan MPV turut membrek tiba-tiba sebelum berpusing dan gagal mengelak lalu bertembung dengan kenderaan berat itu.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu MPV terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang berada di tempat duduk hadapan me­ngalami kecederaan parah iaitu patah peha kiri dan luka di bahagian muka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Cyril berkata, mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat manakala anaknya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Sri Mersing turut dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu treler berusia 34 tahun itu yang dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke Pengerang, Kota Tinggi tidak mengalami sebarang kece­deraan.

Tambahnya, hasil semakan mendapati pemandu tersebut mempunyai 21 saman sementara ujian saringan air kencing ke atasnya adalah negatif.

Pemandu berkenaan, katanya, kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.