AHMAD AZHAM MUHAMMAD
AHMAD AZHAM MUHAMMAD

Dalam kejadian pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Azham Muhammad, 40, maut di tempat kejadian manakala anaknya, Muhammad Luqman Ahmad Azham, 7, mengalami kecederaan parah termasuk patah peha kiri.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan dipercayai membrek secara mengejut bagi mengelak sebuah kenderaan yang memasuki simpang ke kanan.

"Tindakan pemandu lori membrek secara mengejut menyebabkan kenderaan terbabit berpusing lalu memasuki laluan bertentangan. Mangsa bagaimanapun gagal mengelak dan membrek lalu bertembung dengan lori tersebut.

"Akibat pelanggaran tersebut, pemandu MPV itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya yang berada di tempat duduk hadapan mengalami patah peha kiri dan luka di bahagian muka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Cyril berkata, mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Sri Mersing kini dirawat di Hospital Mersing dan mayat bapanya turut dihantar ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat. - UTUSAN ONLINE