Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi semasa mangsa, Chok Ai Yee, 44, dan suaminya, Loh Kon Wha, 46, baru sahaja hendak menutup perniagaan mereka.

Kon Wha berkata, mereka berniaga di situ sejak sembilan tahun lalu, iaitu pada setiap Sabtu bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengah hari.

"Semasa kejadian, kedua-dua kami berada di dalam khemah... Pada masa itu, saya sedang melayan seorang pelanggan manakala isteri bersiap-siap untuk menutup perniagaan.

"Saya kemudian melihat isteri yang berada berdekatan tiba-tiba seakan-akan membongkok sedikit sebelum sebatang pokok di belakang khemah tiba-tiba menghempapnya," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang terkejut menjerit meminta bantuan orang ramai yang kemudian bersama-sama mengalihkan pokok tersebut.

Katanya, Ai Yee kemudian dikejarkan ke HTF untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Pemangku Superintenden Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE