Dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, Solihin Mohamad, 18, berasal dari Kampung Pandan Nenasi, Pekan maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azly Mohd. Noor berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Rompin.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang dipercayai menunggang laju terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Mohammad Mohd. Yasa, 67, datang dari arah bertentangan.

"Kereta dipandu Mohammad kemudian terbabas melanggar tiang Telekom Malaysia (TM) Berhad di kiri jalan," katanya di sini hari ini.

Azly berkata, ketika kejadian, siasatan mendapati keadaan cuaca baik dan permukaan jalan di lokasi kemalangan kering.

"Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN ONLINE