Mangsa, Mohd. Shamsudin Muda, 52, yang bersendirian ketika kejadian cede­ra parah di bahagian perut, dada serta paha itu ditemukan dalam keadaan terbaring oleh anak perempuannya kira-kira pukul 7 petang.

Malah kejadian itu turut mengakibatkan seekor beruk jantan peliharaan peniaga terbabit yang diikat di bawah pokok tepi bangsal berkenaan mati akibat disambar petir.

Difahamkan, sebelum kejadian, salah seorang anak lelaki mangsa, Mohd. Naim Syakir, 16, turut menemaninya di dalam bangsal namun disuruh masuk ke dalam rumah kerana hujan lebat.

Isteri mangsa, Norazila Mohamed Nor, 38, berkata, anak perempuannya, Nor Syazwani, 10, menemukan suami­nya dalam keadaan terbaring dan me­nyangka mangsa sedang tidur.

“Anak saya beritahu, dia puas kejut, tetapi abah tidak bangun-bangun lalu menghubungi abangnya, Mohd. Najmi Syahir, 18, yang ketika itu bekerja di bandar Gua Musang.

“Mohd. Najmi pulang dan menyedari abahnya sudah tiada dan terus bergegas ke warung makan tempat saya bekerja pula. Dia peluk dan beritahu saya, abah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Norazila, dia dan lapan anaknya reda dengan kejadian itu namun sedih kerana bukan sahaja kehilang­an ketua keluarga malah hilang tempat bergantung.

“Kami orang susah dan sentiasa beker­ja keras untuk menyara lima anak yang masih bersekolah,” ujarnya yang turut mempunyai sepasang anak kembar pe­rempuan berumur dua tahun serta seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Jenazah Mohd. Shamsudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tanah Puteh, hari ini.