Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang dikenali Datuk Abu Hassan Said, 62, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami sesak nafas dipercayai diserang asma.

Ketika kejadian, mangsa bersama dengan seorang anak lelakinya, Muhammad Raiyan Asyraf, 22, serta seorang rakannya di kelong berkenaan yang terletak kira-kira enam kilometer dari Jeti Bagan Nakhoda Omar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Mohd. Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.12 pagi ini sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira dua jam kemudian dengan sembilan anggota termasuk pegawai.

“Kita juga mendapatkan bantuan daripada BBP Sekinchan dan BBP Sungai Besar selain menggunakan bot Bomba dalam operasi menyelamatkan mangsa. Bagaimanapun, sebaik sampai, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Saufi, mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Bagan Nakhoda Omar kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini. - UTUSAN ONLINE