Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, kemalangan berlaku pada pukul 11.20 malam yang melibatkan dua motosikal dan empat kereta.

“Wanita yang terbunuh, Siti Khodijah Abdul Rahman, 34, seorang pengusaha butik pengantin di Taman Amanjaya Bukit di sini setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan dada yang membonceng motosikal di dari Taman Sejati menuju ke arah pasar raya Mydin.

“Semasa kemalangan itu berlaku mangsa membonceng motosikal Yamaha LC Nouvo yang ditunggangi oleh Md. Babulhan Aziz, 41, dari Taman Amanjaya Bukit di sini yang hanya mengalami kecederaan di bahagian muka sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, kenderaan yang turut terlibat dalam kemalangan itu termasuk sebuah motosikal Modenas Elite yang ditunggangi oleh pelajar politeknik Jitra, Mohd.Fazri Mohd Nizam, 19, dari Taman Chengal Indah Sungai Petani yang hanya luka di bahagian kening kanan, tangan kiri dan bibir.  

“Kenderaan lain yang turut sama terlibat dalam kemalangan di tempat itu termasuk kereta Axia dipandu oleh Muhammad Dzulkhairie Zulkifli, 27, dari Sungai Petani, pemandu kereta Honda Stream dipandu Mohd. Syafiq Izzani Muftar, 24, Taman Perpaduan Jalan Yan dan pemandu kereta Gen 2, Hatta Fariq Md. Fauzi, 33, dari Taman Kekwa di sini, masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sementara itu, seorang pemandu sebuah kereta Nissan Almera yang turut terlibat dalam kemalangan itu melarikan diri di tempat kejadian,” katanya.

Sazalee menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.-UTUSAN ONLINE