Isteri arwah, Noor Fatihah Os­man berkata, apa yang dilakukan oleh Mohd. Amirul Nizam itu membuktikan dia komited dan amanah dalam melaksanakan tugas.

"Arwah suka am­bil tahu per­kembangan pelajarnya dan dia juga gemar menyediakan makanan untuk anak-anak tahfiz di pusat berkenaan.

"Saya diberitahu dia masuk semula ke dalam bangunan ke­rana mahu menyelamatkan anak-anak murid dan itu sudah cukup membanggakan kami kesemua," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Majis Tujuh di sini hari ini.

Noor Fatihah memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan arwah suami Isnin lalu ketika menghantarnya untuk memulakan semester baharu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

"Arwah selalu pesan kepada saya supaya habiskan belajar. Pesanan itu saya akan ingat sampai bila-bila," ujarnya yang masih kelihatan sugul.

Jenazah Mohd. Amirul Nizam, 25, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Mirul selamat disemadikan kira-kira pukul 2.40 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tujuh.

Kira-kira 1,000 penduduk san­g­-
gup berembun sehingga awal pagi di tanah perkuburan itu demi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Mohd. Amirul Nizam merupakan antara 23 mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kelmarin.

Media sebelum ini melaporkan arwah baru sahaja seminggu me­langsungkan majlis persandingan dengan isterinya, Noor Fatihah.