Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kebanyakan pengendali kren yang diminta membantu dalam operasi menyelamat menganggap pertolongan mereka itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Beliau bagaimanapun berkata, pengendali kren yang membantu JBPM masih boleh membuat tuntutan bayaran selepas operasi itu tamat jika mereka mahu.

"Ini kali pertama kita menghadapi situasi di mana operator kren meminta bayaran terlebih dahulu sebelum melakukan kerja.

"Namun, kalau perlu bayaran biasanya akan diuruskan selepas operasi itu kerana ini kejadian kecemasan dan kita tidak sempat untuk keluarkan surat tawaran (LO) serta memang prosedur operasi standard (SOP) begitu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Raya 2017 di Aeon Shah Alam di sini hari ini.

Ahad lalu, anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa sehingga lima jam untuk mengeluarkan enam mangsa yang rentung daripada remukan kenderaan yang terbabit dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong.

Difahamkan, selain pemilik treler dari Kemayan yang enggan bekerjasama, beberapa pengendali kren juga keberatan memberi pertolongan kerana tidak tahu pihak yang akan membayar perkhidmatan mereka.

Keadaan itu menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengalihkan treler yang menghempap Proton Exora, termasuk cuba menggunakan khidmat kenderaan berat lain seperti lori tangki dan lori ikan.

Wan Mohd. Nor dalam pada itu mengakui ramai anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat tidak mengetahui tentang perkara itu.

"Bahagian operasi tidak mengetahui perkara ini sebab ia dikendalikan oleh bahagian kewangan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE