Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, mangsa, Shaiful Zaman Abdul Jabbar, 39, dipercayai dihanyutkan arus laut dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi.

Beliau berkata, sebelum itu, mangsa telah pergi ke pantai berkenaan yang terletak berhadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson bersama empat ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Ketika menjaring ketam tiba-tiba semua mereka dihanyutkan arus laut.

“Bagaimanapun, empat daripada mereka berjaya naik ke darat dan memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah ditemukan kira-kira pukul 7.07 pagi tadi oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dan telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE