Nora Suella Abd. Latiff, 36, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan itu ketika pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Nora Suella didakwa menyebabkan kematian Muhammad Syahmi Naufal Muhamad Adam Tham dengan melakukan perbuatan gopoh dan cuai.

Dia didakwa telah melakukan perbuatan tersebut di antara pukul 11 pagi hingga 6.21 petang antara 19 April hingga 20 April lalu di dalam rumahnya di Persiaran Taman Meru 5, Taman Meru 2C dekat sini.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menurut laporan akhbar, Muhammad Syahmi Naufal meninggal dunia 20 April lalu selepas hampir 24 jam tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul objek keras. - UTUSAN ONLINE