Azham Zahim (gambar), 31, disahkan meninggal dunia kira-kira 4.20 pagi ketika men­dapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Me­la­ka menggunakan Per­­khidmatan Bantuan Kecemasan Peruba­tan (EMRS) Ja­ba­tan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pegawai Perhubungan Awam JBPM negeri, Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.45 pagi dan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres di mana ruang bilik terbakar 100 peratus. Terdapat seorang lelaki melecur 70 peratus dan operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira dua jam dan tamat pada pukul 5.16 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dalam satu kenyataan merakamkan takziah kepada keluarga atas pemergian Azham yang disifatkan sebagai seorang pekerja berdedikasi dan komi­ted terhadap tugasnya.

“Diharapkan keluarga ar­wah bersabar dan kami di pihak MUSA menyifatkan pemergian beliau satu kehila­ngan yang besar dalam arena bola sepak bukan sahaja bagi Melaka malah negara.

“Sehubungan itu, one mi­nute silence akan diadakan sebelum perlawanan Liga Melaka Divisyen Satu dan Tiga pada Sabtu dan Ahad ini (7 dan 8 Julai),” katanya.

Selain itu, katanya, kutipan derma turut dianjurkan pada perlawanan Melaka United menentang Kedah di Stadium Hang Jebat pada Selasa ini untuk disumbangkan kepada keluarga arwah Azham.

Jenazah Allahyarham Azham dikebumikan di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.