Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, kereta dipandu mangsa, Radzuan Jaklan, 63, terjunam ke dalam sebuah gaung sedalam kira-kira lima meter di tepi jalan tersebut.

Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang merupakan seorang peneroka di Felda Palong 8, Gemas maut selepas seluruh badannya terbakar dalam kemalangan itu.

“Siasatan awal mendapati kawasan kemalangan adalah jalan lurus dan berhampiran dengan sebuah ladang getah.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian lalu terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kanan bahu jalan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat.

Kata beliau, pengecaman mayat dibuat di tempat kejadian oleh anak lelaki mangsa yang bertugas di Cawangan Khas E2, Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE