Bagi mereka, kejadian yang berlaku pada petang  Khamis lalu, dengan bunyi letupan mengegarkan dan api yang menjulang begitu tinggi bersama asap tebal serta bau yang tidak menyenangkan suatu  yang  merisaukan.

Kebimbangan yang melanda mereka selama tiga hari itu akhirnya reda apabila pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mengumumkan kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya kelmarin dan operasi pemadaman ditamatkan semalam.

Kebakaran tangki berkenaan yang mengandungi lebih 18,000 meter padu minyak mentah itu  merupakan yang terburuk dalam sejarah kebakaran berkait dengan industri negeri ini dan operasi pemadaman mengambil masa selama 68 jam dengan lebih 400 anggota Bomba ditugaskan mengawal keadaan.

Bagi seorang suri rumah, Puziah Jusoh, 61, ketika kebakaran mula tercetus, dia yang berada di rumah yang terletak beberapa kilometer dari lokasi kejadian, terdengar letupan kuat.

"Tempat duduk saya rasa bergegar. Saya ingatkan ada kemalangan lori ke apa, lepas itu saya nampak asap tebal naik tinggi.  Dua malam saya tidur tak lena kerana cahaya api terang di dalam bilik saya dan hati saya memang takut dan  bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk,"ujarnya.

Bagi Rokiah Talib, 58,  letupan yang berlaku benar - benar mengejutkannya dan sepanjang hidupnya dia tidak pernah mendengar letupan yang sekuat itu serta api yang begitu besar.

"Bila dengar sahaja letupan, saya ingat ada kapal terbang yang jatuh. Saya suruh anak saya pergi tengok dekat atas jambatan, selepas itu jiran saya memberitahu yang kilang terbakar," katanya.

Dahlan Rantang ,58, pula ketika ditemui  mengucapkan rasa syukurnya kerana kejadian itu tidak menjejaskan kehidupan seharian mereka.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih pihak bomba dan pasukan keselamatan yang bertungkus lumus mengawal 

keadaan, dapat mengelak malapetaka besar yang boleh turut memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar," ujarnya.-UTUSAN ONLINE