Difahamkan, kedua-dua mereka ditemukan pukul 4 petang ini di Pulau Jemaja, Indonesia dan sedang dirawat di hospital di sana.

Bot mereka dikatakan kehabisan minyak sebelum hanyut dibawa arus ke kawasan pulau tersebut yang terletak kira-kira 180 kilometer dari Rompin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dua penduduk Pulau Tioman dikhuatiri lemas selepas bot laju dinaiki mereka dilaporkan hilang, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang berkenaan, Amat Muhamad, 50, dan Mohd. Abdul Lattif Kasim, 20, dilaporkan hilang selepas bertolak dari Jeti Sungai Puteri, Rompin.

Laporan kehilangan mereka dibuat oleh abang seorang daripada mangsa selepas mendapati ahli keluarganya itu tidak pulang ke rumah. - UTUSAN ONLINE