Kejadian kira-kira pukul 5 petang tadi turut menyebabkan peniaga pasar besar Jelawat bertempiaran lari meninggalkan gerai perniagaan mereka ke kawasan yang selamat.

Seorang penduduk, Abdullah Ahmad, 44, berkata, kebanyakan peniaga hanya mampu melaungkan azan dengan harapan angin kencang reda.

“Beberapa kenderaan turut mengalami kerosakan  kerana dihempap pokok yang tumbang dan besi papan tanda di beberapa buah sekolah turut diterbangkan angin,” katanya, di sini malam ini.

Sementara itu, Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Ridzuan Hamat berkata, tinjauan selepas ribut mendapati banyak rumah penduduk rosak teruk khususnya bumbung diterbangkan ribut kencang.

"Saya melawat kawasan sekitar rumah penduduk yang rosak petang tadi. Kejadian berlaku begitu pantas namun setakat ini belum ada laporan kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Mohd Rohni ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.05 petang daripada orang ramai.

Beliau berkata, lokasi pertama melibatkan dua buah kereta di jambatan pekan Jelawat depan sebuah klinik dan lokasi kedua pula di Tangok.

“Ketika kejadian, kenderaan dikatakan bergerak perlahan berikutan cuaca hujan dan berangin. Dua buah kereta yang sedang dalam perjalanan dihempap pokok yang tumbang merintangi jalan dan menghempap kereta jenis Wira dan Satria.

“Setiap kereta itu dipandu oleh seorang lelaki dan mereka sempat keluar dengan selamat sejurus kejadian berkenaan. Kami mengambil masa 15 minit untuk memotong pokok berkenaan untuk membolehkan mangsa meneruskan perjalanannya.

“Di lokasi kedua pula di depan Sekolah Kebangsaan Tangok yang melibatkan sebuah pokok menimpa kereta jenis Perodua Kancil. Pemandu kereta itu juga selamat tanpa kecederaan,” katanya.

Tambahnya, operasi itu melibatkan sembilan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera. - UTUSAN ONLINE