Syed Md. Farid Farahan Syed Nasser, 24, dari Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor dibawa turun oleh sepasukan 37 penyelamat terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dengan dibantu Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), malim gunung dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

Mangsa yang mendaki bersama sekumpulan rakannya sejak Sabtu dilaporkan tidak sihat dan dikatakan terjatuh ketika dalam perjalanan turun yang menyebabkan kakinya cedera dan bengkak.

Bomba dalam satu kenyataan berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada malim gunung kira-kira pukul 1.20 petang.

“Pada pukul 6.30 petang kita menerima makluman mangsa dalam keadaan stabil dan akan dibawa turun melalui jalan darat.

“Mangsa yang dibawa turun dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 malam selamat sampai ke kaki gunung pada pukul 11.15 malam dan diberi rawatan sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE