Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, pengsan semasa berada di sekolahnya pagi semalam sebelum dikejarkan ke HSI untuk rawatan kecemasan dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.

Remaja berkenaan yang tinggal berdekatan Pelabuhan Tanjung Langsat kini bergantung dengan alat bantuan pernafasan di ICU.

Ibunya, Noor Atikah Daud, 47, memohon orang ramai mengadakan solat hajat dan berdoa supaya anaknya sembuh dan kembali ceria seperti sedia kala.

Noor Atikah berkata, anak perempuannya yang mesra disapa dengan panggilan ‘adik’ adalah seorang anak yang manja dan taat kepada ibu bapanya.

“Masih terngiang-ngiang di telinga semasa bersalam sebelum adik (Affza Balqis) keluar ke sekolah pada hari kejadian (semalam). Sambil memeluk dan mencium, adik sempat bergurau bertanyakan ‘ummi, adik cantik kan?

“Saya kata, betul adik cantik sangat, tapi adik kena ingat adik pakai tutup aurat cantik-cantik dan perlu niat kerana Allah SWT. Sambil mengucup dahinya, dia menerima nasihat itu sebelum dia memeluk bapanya dengan erat,” katanya menerusi entri dimuat naik dalam Facebooknya pagi tadi.

Menurut Noor Atikah, dia dan suami merasa amat sayu melihat anak kesayangannya terlantar kaku di katil hospital dalam keadaan dipasangkan alat bantuan pernafasan.

“Ummi dan bapa redha dengan ujian Allah SWT ini tapi bila melihat keadaan adik terbaring kaku dengan alat bantuan pernafasan serta peralatan lain membuatkan hati ummi dan bapa lemah dan longlai...

“Ummi dan bapa hanya mampu menadah tangan kepada yang Esa mohon diberikan keajaiban daripadaNya bagi kesembuhan adik,” katanya.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebooknya turut memberikan reaksinya:”Saya berasa sedih dengan apa yang telah terjadi, nyawa anak-anak yang tidak bersalah terancam akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Marilah kita sama-sama doakan agar semua mangsa terlibat segera sembuh dan kembali seperti sedia kala. Semoga semua keluarga-keluarga yang terlibat juga tabah mengharungi cabaran ini. Insya-Allah,” tulisnya dalam Facebook. - UTUSAN ONLINE