Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti menyebarkan maklumat palsu mengenai kejadian itu.

“Kebelakangan ini banyak berita palsu dan tidak benar ditularkan melalui media sosial mengenai kejadian pencemaran udara akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Perbuatan itu mengakibatkan ramai orang termasuk kanak-kanak sekolah menjadi mangsa yang menyebabkan suasana panik dan kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, penyebaran maklumat palsu yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, penularan berita palsu adalah kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukan hukuman penjara satu tahun atau denda tidak melebihi RM 50,0000 atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan mudah percaya kepada berita-berita yang tidak dapat dipastikan sumber dan kesahihannya.

Beliau berkata, setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada sebarang kematian dilaporkan. - UTUSAN ONLINE