Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 malam itu, mangsa, Shahrul Idham Muhamad Asmawi dilapor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu selain memaklumkan sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang menunggang secara bersendirian dari arah Rawang menuju ke Tanjong Karang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dilaporkan telah gagal mengawal motosikalnya setelah sebuah kereta jenis Perodua Myvi cuba memasuki simpang kanan jalan dari arah bertentangan. Mangsa kemudiannya melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak di atas jalan raya selain mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya hari ini.

Tambah Md. Asri, hasil laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital Tanjong Karang mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius di bahagian kepala.

Kes itu jelas beliau disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE