Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi, Syafiq Aiman Mohd. Noor, 18, yang beralamat di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru B, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z ketika itu dalam perjalanan Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Apabila mangsa tiba di lokasi nahas, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba mahu membelok memasuki simpang kanan menyebabkan dia tidak sempat membrek lalu merempuh kenderaan itu.

“Pemandu Mitsubishi Triton, Shukri Deraman, 59, yang berasal dari Kampung Pauh, Pasir Mas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan pagi ini.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE