Mohammad Fakruddin Mohd. A'asari, 28, yang bekerja di Singapura ditemukan mayatnya di persimpangan susur naik ke Taman Daya di lebuh raya tersebut pukul 10.14 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Rupeah Abdul Wahid berkata, Mohammad Fakruddin yang menunggang motosikal dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan persimpangan itu.

"Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari Perling ke Johor Jaya. Setibanya di susur menghala ke Johor Jaya, mangsa terbabas dan terjatuh dalam longkang.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Waris mangsa sudah membuat pengecaman dan mengesahkan identitinya selepas bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Kehilangan Mohammad Fakruddin sebelum ini tular dalam media sosial selepas pekerja syarikat swasta di Singapura itu tidak dapat dihubungi selepas dikatakan ke rumah kenalan wanitanya di Taman Daya.

Selepas gagal menghubungi mangsa dan kehilangannya terus menjadi misteri, rakannya membuat laporan polis untuk mengesannya. - UTUSAN ONLINE