Mangsa, Abdulah Arkin Unung, 18, ditemukan kira-kira pukul 4 petang di sekitar lokasi bot mangsa dilaporkan terbalik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Mangsa kemudianya berjaya ditemukan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai lemas oleh pasukan SAR dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, mangsa bersama dua rakannga masing-masing berusia 14 dan 19 tahun telah turun ke laut untuk memancing pada Ahad lalu.

Bot yang dinaiki mereka kemudiannya terbalik sehingga karam akibat dipukul ombak dan angin kencang.

Bagaimanapun dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri kerana mempunyai kemahiran berenang dan diselamatkan oleh nelayan tempatan tetapi mangsa tenggelam.

Berikutan itu, operasi SAR telah digerakkan sejak kelmarin melibatkan 39 anggota keselamatan antaranya Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malayisa negeri (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - UTUSAN ONLINE