Dalam insiden kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Meli Manggang, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa sedang memotong rumput di tepi jalan berkenaan.

Walau bagaimanapun, katanya, sebuah 4WD yang datang dari arah Bintulu ke Miri tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh mangsa.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Nissan Navara yang berusia 60 tahun itu gagal mengawal kenderaannya apabila tidak menyedari terdapat sebuah van diletakkan di bahu jalan berkenaan.

“Pemandu Nissan Navara itu cuba mengelak daripada merempuh van tersebut lalu terbabas dan melanggar mangsa yang sedang memotong rumput di bahu jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson berkata, kejadian berkenaan turut mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda terbabit terbalik.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. - UTUSAN ONLINE