Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa, Muksin Mambong, 40, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, badan dan kaki disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pitas, dekat sini.

Sementara itu, pemandu treler berusia 32 tahun pula dilaporkan cedera pada bahagian kaki manakala wanita yang memandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Izaan Abdullah berkata, sebelum kemalangan, lori yang membawa muatan kayu balak itu dalam perjalanan dari Kota Marudu menuju ke Pitas.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan berat itu dikatakan hilang kawalan sehingga memasuki lorong bertentangan sebelum terbalik lalu menggelongsor ke hadapan dan bertembung dengan van tersebut.

“Selepas pertembungan itu, van berkenaan pula tersorong ke belakang dan melanggar pacuan empat roda Toyota Hilux,” katanya disini hari ini.

Mohd. Izaan memberitahu, kesan kemalangan terbabit, pemandu treler dan van tersepit di dalam kenderaan masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian treler kerana memasuki laluan bertentangan namun, siasatan masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE