Mangsa, M. Sagar 29, maut di lokasi kejadian dalam kemalangan pada pukul 7.45 pagi itu akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan dalam perjalanan dari arah Raub ke Benta tanpa membawa muatan.

Kata beliau, treler itu dipercayai dipandu laju semasa mengambil selekoh menyebabkannya gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke tebing setinggi 50 meter.

“Di bawah tebing berkenaan terdapat tiga buah rumah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda namun tidak melibatkan kerosakan pada rumah atau kecederaan kepada penghuni.

“Cuma kenderaan itu mengalami sedikit kerosakan pada bahagian tepi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azry, kejadian itu menyebabkan mangsa terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

“Siasatan awal kes ini menunjukkan punca kejadian adalah daripada sikap pemandu lori yang memandu laju ketika melalui jalan berselekoh dan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas.

“Bagaimanapun, kejadian ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. - UTUSAN ONLINE