Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai pemandu teksi berusia 55 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.03 pagi dan menghantar sepasukan polis untuk memeriksa keadaan mangsa.

“Hasil pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan Hospital Ampang yang tiba di lokasi, mangsa disahkan telah meninggal dunia.

“Kita juga dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang kepala mangsa dipercayai akibat terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hamzah, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang alat yang boleh dikaitkan dengan insiden itu dan siasatan awal tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - UTUSAN ONLINE