Lebih memilukan apabila kem yang berlangsung sejak Khamis lalu di sebuah hotel itu akan berakhir hari ini iaitu kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisi­oner Idris Abd. Rafar berkata, pemandu van itu, Mohd. Amin Ibrahim, 36 dan seorang pelajar Mohamad Zulfahmi Abdul Halim, 17, me­ninggal di tempat kejadian semasa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 tengah hari, secara tiba-tiba dahan pokok daripada sebatang pokok yang berada di tepi jalan Mengabang Lekor, di sini patah dan menghempap dua kenderaan.

“Dalam kejadian ini, sebuah lagi kereta yang dinaiki dua wanita turut terlibat. Dua daripada tiga individu yang menaiki van (ken­deraan sekolah terbabit) meninggal dunia. Mangsa lain (termasuk menaiki kereta) selamat tetapi mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital.

“Kesemua mereka yang di­rawat kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, rakan Mohd. Amin yang tidak mahu dikenali berkata, mangsa adalah seorang yang komi­ted dengan kerja dan peramah.

Katanya, mangsa tidak pernah membantah apabila diminta menghantar pelajar menggunakan van tersebut dan beliau tidak menyangka bahawa pertemuan mereka beberapa jam sebelum itu adalah kali terakhir.

Tambahnya, jarak antara lokasi kejadian dengan sekolah terbabit hanyalah kira-kira dua kilometer dan ketika menerima panggilan terdapat kenderaan sekolah yang kemalangan, ramai antara petugas bergegas namun tidak menyangka Mohd. Amin dan seorang pelajar meninggal dunia. – BERNAMA