Dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Amiljon Musid, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah bandar raya Kota Kinabalu dalam perjalanan menuju ke Kepayan di sini.


Katanya, sebaik sahaja tiba di Jalan Coastal berdekatan Sutera Harbour, tiba-tiba kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan terbabit.


“Akibat kemalangan itu pemandu yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang lelaki yang duduk di bahagian depan pula cedera parah pada bahu kanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Tambah Chandra, pemandu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE