Kemalangan pada kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan M.Sithambaram, 33, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata,  siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa gagal  mengawal kenderaannya lalu menghimpit sebuah kereta.

"Pemandu kereta yang terkejut dengan pelanggaran itu  menekan brek sebelum lori berkenaan  hilang kawalan lalu terbalik beberapa kali dan melanggar penghadang jalan.

"Mangsa  meninggal dunia di tempat kejadian. Kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan sementara spesimen darah kedua-dua pemandu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE