Dalam kemalangan pada pukul 5.15 petang itu, empat daripada 28 murid sekolah yang menaiki bas itu mengalami cedera ringan. 

Kejadian dipercayai berlaku selepas lori membawa muatan ais yang dalam perjalanan dari Felda Lui Muda menuju ke Bandar Seri Jempol bertembung dengan bas yang berada di laluan bertentangan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat  Bandar Seri Jempol, Mohd. Hazren Mohd. Zahar berkata, seramai sembilan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 5.16 petang. 

"Apabila tiba di tempat kejadian, kami dapati dua lelaki berusia 30-an tersepit di bahagian kaki di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan sebuah lori ais.

"Pasukan bomba mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat pemotong khas. 

"Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut," ujarnya. 

Katanya, operasi berkenaan turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang.

Sementara itu, Superitenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim memberitahu, pemandu lori itu disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederan parah di kepala. - UTUSAN ONLINE