Dalam kejadian difahamkan kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Norhani Mohamad Hatta, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian ruang pemandu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan sampai ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.55 pagi ini membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa yang datang dari arah Klang ke Rantau Panjang dikatakan telah terbabas dan melanggar bahagian belakang lori dari arah yang bertentangan. Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa telah tersepit dan mengalami kecederaan parah.

“Kita terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong besi kereta bagi mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Zaidi, mayat mangsa yang berasal dari Rantau Panjang itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE