Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim memberitahu,  mangsa, Mohd Anwar Abdul Malik, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurut beliau, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku di laluan lurus  ketika mangsa dalam perjalanan dari Johor Baharu untuk menghantar bahan kimia tersebut di sebuah kilang memproses makanan haiwan di Kawasan Perindustrian Kerteh.

 “Setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandunya hilang kawalan ke sebelah kiri lebuh raya sebelum terbalik.

 “Pada masa yang sama, injap tangki yang membawa bahan kimia tersebut mengalami kerosakan menyebabkan berlaku kebocoran, dan sepasukan 16 anggota dan empat pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Opersi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 2 Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, pihaknya menerusi Unit Hazmat telah membuat takungan di dua tempat di kawasan bagi mengawal pengaliran asid sulfurik itu dan meneutralkannya. - UTUSAN ONLINE