Nahas pada pukul 6 pagi itu mengorbankan Hosnan Jambari, 59, yang maut di tempat kejadian manakala anggota polis bantuan iaitu Wan Hamidi Wan Ibrahim, 39, mengalami pendarahan dalaman di perut dan patah kaki kiri.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan tiga yang lain cedera termasuk seorang lagi anggota polis bantuan PLUSRonda berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, lori jenis yang dinaiki tiga lelaki itu disyaki mengalami kerosakan di bahagian enjin dan berhenti di lorong kecemasan.

Katanya, dua anggota polis bantuan PLUSRonda yang dimaklumkan mengenai kerosakan itu telah datang ke lokasi kejadian untuk membantu dan memeriksa kenderaan berkenaan.

“Semasa kerja-kerja memeriksa lori itu dijalankan, sebuah lori kontena yang datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan telah merempuh bahagian belakang lori berkenaan dan terbalik.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori dan seorang penumpang lelakinya cedera ringan manakala seorang lagi penumpang berusia 17 tahun tidak cedera.

“Pelanggaran itu turut mengakibatkan pemandu kontena berkenaan maut manakala seorang anggota polis bantuan PLUSRonda pula parah,” katanya. - UTUSAN ONLINE