Ketua Polis Daerah, Superintenden Amran Sidek berkata, pemandu lori berusia 45 tahun itu ditahan sejurus selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan berkenaan.

Katanya, pemandu tersebut yang tidak mengalami kecederaan ditahan bagi menjalani ujian air kencing.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Dalam nahas pada pukul 4.40 semalam, seorang remaja, Mohamad Adib Jasni, 18, yang membonceng motosikal ditunggang abangnya, Mohamad Alif, 21, maut selepas dilanggar dan diseret sebuah lori yang melanggar lampu isyarat merah di kawasan kejadian.

Mohamad Alif pula cedera di kaki kiri dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan. - UTUSAN ONLINE